| Welcome to SUPERBIKEMALAYSIA.COM. We hope you enjoy your visit. You're currently viewing our forum as a guest. This means you are limited to certain areas of the board and there are some features you can't use. If you join our community, you'll be able to access member-only sections, and use many member-only features such as customizing your profile, sending personal messages, and voting in polls. Registration is simple, fast, and completely free. Join our community! If you're already a member please log in to your account to access all of our features: |
| PENGHARAMAN MOTORSIKAL DI LEBUHRAYA; Open Letter | |
|---|---|
| Topic Started: 5 Oct 2007, 12:56 PM (3,649 Views) | |
| aDVo | 5 Oct 2007, 12:56 PM Post #1 |
|
Lord Justice
|
Assalammualaikum dan selamat sejahtera; Saya terpanggil untuk menulis kerana saya terlibat secara langsung dengan motorsikal berkuasa tinggi sebagai penunggang dan juga pengasas dan pemilik laman web www.superbikemalaysia.com, sebuah laman web yang didekasikan untuk peminat motorsikal berkuasa tinggi di Malaysia. Kami mewakili lebih seribu lima ratus penunggang dan peminat motorsikal berkuasa tinggi di seluruh negara. Sejak Yang Berhormat Menteri Kerjaraya mencadangkan supaya motorsikal berkuasa tinggi diharamkan daripada menggunakan lebuhraya, ahli-ahli kami sebulat suara membantah cadangan tersebut yang dirasakan dikeluarkan di atas sifat prejudis terhadap penunggang motorsikal dan bukan setelah dipertimbangkan secara adil dan saksama. Beberapa hari sebelum cadangan tersebut diutarakan beliau, satu kemalangan maut berlaku di Terengganu berpunca daripada dua buah kereta yang berlumba sehinggakan membabitkan pengguna jalanraya yang lain. Lima orang telah terkorban di dalam nahas itu tetapi tidak ada sebarang komen daripada Yang Berhormat Menteri Kerjaraya berkenaan nahas tersebut. Malangnya, apabila Yang Berhormat Menteri Kerjaraya dipintas oleh empat buah motorsikal berkuasa tinggi, sepantas penunggang itulah keluar cadangan untuk mengharamkan penggunaan motorsikal berkuasa tinggi di lebuhraya. Mengapa tidak dicadangkan sahaja supaya diharamkan semua jenis kereta daripada digunakan di jalanraya kerana kereta membahayakan nyawa? Saya percaya terdapat statistik sahih berkenaan kemalangan melibatkan kereta dan kenderaan lain dan kesannya kepada pengguna jalanraya yang lain untuk dibandingkan dengan statistik kemalangan yang berpunca daripada motorsikal berkuasa tinggi dan kesannya kepada pengguna jalanraya yang lain dan setelah dibandingkan, haramkan kenderaan yang tebukti dari rekod lebih menyebabkan kemalangan dan kematian kepada pengguna jalanraya yang lain. Bukankah sudah wujud agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya. Gagalkah agensi-agensi penguatkuasaan ini menguatkuasakan undang-undang sehinggakan jawatan tersebut harus diambil alih oleh Yang Berhormat Menteri Kerjaraya? Bukan niat saya untuk mempertahankan empat penunggang yang dilihat berlumba oleh Yang Berhormat Menteri Kerjaraya tersebut tetapi saya berpendapat yang bersalah wajar dihukum dalam konteks undang-undang sedia ada, tidak kiralah samaada mereka adalah penunggang motorsikal berkuasa kecil, berkuasa tinggi, kereta, bas dan sebagainya. Bawalah mereka ke muka pengadilan, adililah mereka sewajarnya dan sekiranya bersalah, hukumlah mereka mengikut peruntukan undang-undang. Jangan kerana marahkan seekor nyamuk kelambu pula hendak dibakar. Menghukum secara kolektif serupalah membawa ngara kembali ke zaman feudal, di mana sesuatu keluarga dihukum seluruhnya disebabkan kesalahan salah seorang daripada mereka. Marahkan beberapa individu yang melanggar undang-undang, seluruh komuniti harus menerima hukuman dan merasai bebannya. Adakah ini isunya? Pada saya, memandu laju bukan isu kerana kesalahan memandu laju juga dilakukan dan terbukti dilakukan oleh pemandu kereta, bas malahan lori. Berlumba juga bukan isu kerana kesalahan berlumba juga dilakukan dan terbukti dilakukan oleh motorsikal berkuasa kecil, kereta dan sebagainya. Membahayakan pengguna jalanraya yang lain juga bukan isu kerana kenderaan lain juga membahayakan dan terbukti membahayakan pengguna jalanraya yang lain sepertimana dilihat di dalam kemalangan kereta yang dirujuk di atas. Jadi, apakah isunya di sini? Adakah Yang Berhormat Menteri Kerjaraya sudah mula merasakan perlu mengenakan tol terhadap pengguna motorsikal berkuasa tinggi kerana perkara ini acapkali diungkit beliau. Apakah ini agenda sebenar? Perlukah tol dikenakan ke atas penunggang motorsikal berkuasa tinggi? Banyakkah pendapatan yang boleh diperolehi oleh negara sekiranya langkah ini dilaksanakan berbanding kesusahan yang bakal ditanggung penunggang motorsikal berkuasa tinggi? Untuk pengetahuan semua, harga motorsikal berkuasa besar di Malaysia adalah di antara yang tertinggi di dunia dengan kadar cukai import dan/atau eksais yang sukup tinggi. Cukai jalan untuk sebuah motorsikal berkuasa 1000cc sahaja sudah melebihi RM400.00. Wajarkah di atas dua kadar yang telah dikenakan tersebut ditambahkan lagi dengan tol ke atas mereka? Atau adakah ini agenda Yang Berhormat untuk meminta dibina lorong motorsikal di lebuhraya? Jika ini tujuannya saya menyokong penuh usaha ini dengan syarat kualiti jalanraya hendaklah disesuaikan dengan keperluan pengguna motorsikal berkuasa tinggi kerana lorong-lorong motorsikal yang sedia ada di beberapa lebuhraya sekarang ini bukan sahaja berbahaya kepada penunggang motorsikal berkuasa tinggi tetapi berbahaya kepada apa juga jenis motorsikal kerana tidak dibina dan diselenggara dengan sempurna. Seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato' Zahid Hamidi, kebanyakan penunggang motorsikal berkuasa tinggi berumur 35 tahun ke atas dan disebabkan harga yang tinggi, hanya golongan berkemampuan sahaja yang mampu memiliki motorsikal berkuasa tinggi. Golongan ini terdiri daripada professional yang sangat rasional dalam cara tunggangan mereka kerana faktor pendidikan dan kedudukan mereka. Jarang kita temui penunggang motorsikal berkuasa tinggi menunggang tanpa aksesori keselamatan dan biasanya mereka bergerak di dalam konvoi-konvoi yang teratur. Kami di SUPERBIKEMALAYSIA.COM telah menganjurkan ratusan konvoi ke seluruh negara tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini dan ini membuktikan bukti betapa prihatinnya kami terhadap keselamatan kami dan juga pengguna jalanraya yang lain. Di samping itu, sukan motorsikal berkuasa tinggi semakin mendapat tempat di negara ini dan juga menambahkan lagi pendapatan negara melalui kemasukan pelancong ke negara ini malahan kami di SUPERBIKEMALAYSIA.COM saban tahun mempromosikan sukan permotoran di negara ini di luar negara dan senantiasa menjemput peminat-peminat motorsikal berkuasa tinggi luar negara untuk datang ke negara ini untuk menikmati sukan bermotosikal sambil melancong melihat keindahan negara. Adalah tidak wajar sama sekali untuk menindas penunggang motorsikal berkuasa tinggi hanya kerana mereka tidak membayar tol di lebuhraya. Adalah lebih tidak bertimbangrasa untuk meletakkan kesalahan di atas seluruh komuniti pengguna motorsikal berkuasa tinggi di atas kesalahan salah seorang daripada mereka. Walau apapun isu atau agenda Yang Berhormat Menteri Kerjaraya, saya mewakili ahli-ahli SUPERBIKEMALAYSIA.COM membantah keras cadangan tersebut yang kami rasakan tidak adil kepada penunggang-penunggang motorsikal berkuasa tinggi di seluruh negara. Mereka yang melanggar undang-undang wajar dihukum, tidak kiralah samaada mereka menggunakan motorsikal, kereta atau apa juga kenderaan lain mengikut peruntukan undang-undang. Samry bin Masri SUPERBIKEMALAYSIA.COM |
![]() |
|
| 1 user reading this topic (1 Guest and 0 Anonymous) | |
| « Previous Topic · OFFICIAL ANNOUNCEMENT · Next Topic » |







2:16 PM Jul 31